Thursday, 29 March 2012

Junjungan Mulia-Nabi Muhammad S.A.W



Nabi Muhammad s.a.w. dilahirkan pada 12 Rabiuawal Tahun Gajah bersamaan dengan 571 Masihi di Mekah. Ibunya bernama Aminah binti Wahab. Ibunya telah meninggal dunia apabila Nabi Muhammad 6 tahun. Bapanya bernama Abdullah Abdul Muttalib dan beliau meninggal dunia apabila nabi dalam kandungan. Nabi dipelihara oleh datuknya Abdul Muttalib yang kemudiannya meninggal dunia ketika nabi berumur 8 tahun. Semasa berumur 12 tahun, nabi mengikut bapa saudaranya Abu Talib ke Syam untuk berniaga. Seorang paderi bernama Bahirah / Buhairah menasihatkan Abu Talib membawa Muhammad balik kerana bimbang dibunuh oleh orang Yahudi. Ketika berusia 25 tahun, beliau telah berkahwin dengan Khadijah binti Khuwailid yang berumur 40 tahun. Baginda mempunyai 6 orang anak, iaitu 2 lelaki dan 4 perempuan. Yang lelaki telah meninggal nudia semasa mereka kecil. Sewaktu 35 tahun, beliau diberi gelaran al-Amin kerana berjaya menyelesaikan perbalahan di kalangan pembesar Arab berhubung dengan perletakan batu Hajar al-Aswad.

Perlantikan Sebagai Nabi dan Rasul
Nabi ialah seorang manusia lelaki yang terpilih yang disampaikan wahyu Allah untuk dirinya. Rasul juga sama dengan nabi tetapi Rasul mesti menyampaikan wahyu yang diterimanya kepada orang lain.

Telah menjadi kebiasaan, Muhammad mengasingkan diri di Gua Hira untuk beribadat di samping memikirkan kejadian alam. Akhirnya pada 17 Ramadan bersamaan 6 Ogos 611 Masihi sewaktu baginda berusia 40 tahun, datanglah malaikat Jibril membawa wahyu pertama, iaitu ayat 1-5, surah al-Alaq. Wahyu ini bermaksud: bacalah dengan nama Tuhan kamu yang menjadikan kau dan segumpal darah dan bacalah dengan nama Tuhanmu yang mulia yang mengajar manusia yang tidak mengetahui apa-apa. Selepas menerima wahyu pertama, nabi terus ke rumah menceritakan apa yang berlaku kepadanya dan Khadijah telah membawa baginda berjumpa dengan sepupunya, Waraqah bin Naufal, seorang pendeta yang menghafal kitab suci. Waraqah mengakui yang datang itu ialah Jibril dan ini bermakna baginda dilantik sebagai nabi.

Selepas menerima wahyu pertama, baginda terus ke gua dan pada suatu hari, ketika baginda keluar dari rumah, baginda terdengar satu suara dan apabila baginda mendongak, terlihatlah Jibril. Kerana takut, baginda masuk semula ke rumah dan meminta Khadijah menyelimutkannya. Ketika inilah turunlah wahyu kedua, iaitu surah al-Mudduthir, ayat 1-7 yang bermaksud: Wahai orang yang berselimut, bangun dan berilah peringatan, hendaklah engkau menggesakan tuhanmu, bersihkanlah pakaianmu, jauhilah perbuatan dosa, janganlah engkau memberi kerana hendakkan balasan yang banyak dan hendaklah engkau bersabar kerana tuhanmu. Dengan wahyu kedua ini, bermakna Allah telah melantik baginda sebagai Rasul kerana ayat tersebut dengan jelas memerintahkan Muhammad untuk mengingatkan manusia.

No comments:

Post a Comment