Thursday, 29 March 2012

Ummah




Definisi Ummah
Ummah menurut Sahifah Madinah adalah di dalam pengertian yang luas. Istilah tersebut adalah merujuk kepada semua penduduk Madinah pada masa kedatangan Nabi ke Madinah. Ia termasuklah orang-orang Islam yang berhijrah bersama Nabi atau lebih dikenali sebagai orang-orang Muhajirin, penduduk Madinah yang telah membantu Nabi atau yang lebih dikenali sebagai golongan Ansar serta orang-orang Yahudi yang telah menjadi sebahagian daripada sebahagian daripada penduduk Madinah. Walaupun mereka terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama tetapi masih lagi dianggap sebagai satu ummah. Oleh itu, Sahifah Madinah telah menyebutkan nama mereka satu persatu dan mereka masing-masing mempunyai hak dan tanggungjawab terhadap negara Islam Madinah.

Sejarah Pembentukan Ummah
Pembentukan ummah di Madinah bermula sebaik sahaja Nabi sampai ke Madinah iaitu pada tahun 1 Hijrah bersamaan 622 M. Suasana di Madinah tidak aman menyebabkan Nabi mengambil beberapa langkah untuk membentuk ummha. Nabi sedar negara Islam Madinah mungkin dapat ditegakkan jika penduduk Madinah tidak bersatu terlebih dahulu. Sehubungan dengan itu, Nabi telah bertindak mempersaudarakan golongan Aus dan Khazraj dan mereka diberi nama baru iaitu golongan Ansar, golongan ini kemudiannya telah dipersaudarakan pula dengan golongan Muhajirin dan seterusnya mengadakan perjanjian damai dengan golongan Yahudi. Bagi mengukuhkan lagi kedudukan ini, Sahifah Madinah telah digubal, Nabi juga membina masjid sebagai tempat untuk menyatukan umat Islam. Dengan usaha-usaha yang dilakukan ini maka terbentuklah satu ummah di Madinah.

Kaitan Ummah dengan Politik Islam di Madinah
1.
Pembentukan ummah mempunyai kaitan yang rapat dengan politik Islam di Madinah. Dengan terbentuknya ummah, Madinah telah muncul sebagai sebuah negara Islam yang pertama. Ia kemudiannya menjadi sebuah kuasa yang besar dan disegani. Di bawah konsep ummah, penduduk Madinah telah bekerjasama untuk membangunkan Madinah sama ada dari segi politik, ekonomi ataupun sosial. Kejayaan Nabi menyatukan penduduk Madinah di bawah konsep ummah telah membuktikan bahasa Islam adalah agama yang lengkap dan ia tidak memisahkan di antara politik dan agama.
2.
Pembentukan ummah Madinah juga telah menjamin keselamatan Madinah dari ancaman luar dan dalam. Sebagai satu ummah semua penduduk Madinah perlu bekerjasama untuk mempertahankan Madinah dan sebarang ancaman. Di samping itu, mereka juga tidak boleh bermusuhan di antara satu sama lain. Nabi dengan jelas menyebutkan bahawa sesiapa atau mana-mana golongan yang mengingkari perjanjian yang telah dibuat akan dikenakan hukuman yang setimpal. Hal ini terbukti apabila orang-orang Yahudi telah dihalau dari Madinah apabila mereka sering mempersendakan kemenangan tentara Islam. Malah telah bekerjasama dengan pihak musuh iaitu orang-orang Quraisy.
3.
Pembentukan ummah juga telah berjaya menyelesaikan krisis pemimpin yang wujud di Madinah sebelum ini. Semua penduduk Madinah termasuklah orang-orang Yahudi bersetuju untuk menerima Nabi sebagai pemimpin Madinah. Sifat-sifat kepimpinan yang ada pada Nabi telah menyebabkan mereka berpuas hati dan bersetuju untuk bernaung di bawah pemerintahan Islam. Sebelum ini, penduduk Madinah sering bertelagah bagi menentukan kepimpinan di Madinah. Puak Aus dan Khazraj misalnya telah berperang sejak sekian lama dan peperangan yang paling hebat ialah peperangan Buath. Orang-orang Yahudi juga sering mengintai peluang untuk mengambilalih pentadbiran Madinah, oleh itu, mereka sering melagak-lagakan di antara kedua-dua puak tersebut.
4.
Pembentukan ummah juga berjaya mengukuhkan kedudukan politik Islam. Ia telah membuka peluang kepada penyebaran agama Islam. Orang Islam bebas beribadat dan menyebarkan agama Islam. Hal ini menyebabkan bilangan penganut Islam bertambah dengan banyaknya. Dalam tempoh 10 tahun Nabi di Madinah, penganut Islam telah meningkat lebih daripada 100,000 orang. Hal ini terbukti semasa Nabi mengerjakan ibadat haji yang terakhir, seramai 100,000 orang telah mendengar khutbah baginda yang terakhir. Bilangan ini sangat besar berbanding dengan bilangan yang berjaya diislamkan dalam tempoh 13 tahun Nabi di Mekah.

Sesungguhnya pembentukan ummah di Madinah telah memberi kesan yang besar terhadap usaha-usaha penyebaran Islam. Ia juga sekaligus menunjukkan bahawa Nabi Muhammad adalah seorang pemimpin yang unggul. Oleh itu, tidaklah menghairankan jika baginda juga digelar sebagai seorang negarawan.

No comments:

Post a Comment