Perkataan manusia dalam Bahasa Melayu adalah menyamai
istilah yang disebutkan dalam al-Quran, iaitu al-Ins, al-Insan, al-Nas dan
al-Basyar. Nama-nama ini adalah merujuk kepada manusia yang telah diamanahkan
oleh Allah untuk menjadi khalifah di atas muka bumi ini. Dengan kata lain,
manusia adalah pemerintah, pemilik dan pengguna bagi semua kejadian sama ada di
darat, di laut atau di udara. Sejak abad ke-4 M, orang-orang Barat begitu
terpengaruh dengan teori evolusi yang menyebutkan bahawa manusia berasal daripada
beruk. Teori ini mula diperkenalkan oleh beberapa orang ahli falsafah Greek
termasuklah Aristotle, Anazimander dan Epidocles. Namun demikian, teori ini
dipertikaikan oleh saujana sains Islam dan juga Barat. Mereka menganggap ia
bukanlah suatu kajian yang bersifat fakta sebaliknya merupakan satu ideologi
sahaja.
Manusia Menurut al-Quran
Manusia menurut al-Quran adalah makhluk yang dikurniakan
akal, roh, dan jasad. Ia adalah sebaik-baik kejadian berbanding dengan malaikat
dan binatang. Malaikat hanyalah dikurniakan akal tetapi tidak dikurniakan nafsu
sedangkan binatang hanya dikurniakan nafsu tanpa akal. Sungguhpun begitu
kedudukan manusia akan menjadi lebih rendah daripada binatang jika mereka gagal
menggunakan akal dengan baik sebaliknya menjadi hamba kepada nafsu. Menurut
al-Quran, semua manusia adalah berasal dari keturunan Nabi Adam dan Adam pula
dijadikan daripada tanah. Oleh itu, kaedah mantik atau logik manusia juga
berasal daripada tanah. Kebanyakan ulama tafsir berpendapat proses pembentukan
bayi dalam kandungan juga bermula dari saripati tanah atau disebut sebagai
nutfah di dalam al-Quran. Pendapat ini ternyata benar kerana semua sumber
makanan dan minuman adalah berpunca daripada tanah. Berdasarkan kenyataan ini,
jelaslah menunjukkan bahawa konsep manusia menurut Islam adalah berbeza dengan
pandangan yang pernah dikemukakan oleh para pengkaji antropologi.
Fungsi Manusia Menurut al-Quran
Beribadat kepada Allah
Menurut al-Quran, manusia berfungsi dan berperanan
tersendiri. Fungsi utama manusia dicipta ialah untuk beribadat kepada Allah.
Sehubungan dengan itu, Islam telah menggariskan beberapa jenis ibadat yang
perlu dilaksanakan oleh manusia sama ada dalam bentuk fardu ain atau fardu
kifayah. Ibadat fardu ain ialah ibadat yang perlu dilakukan oleh setiap
individu yang menepati syarat-syarat yang telah ditentukan, contohnya
sembahyang, puasa, zakat, haji dan lain-lain. Ibadat fardu kifayah pula ialah
ibadat yang jika dilakukan oleh individu atau kumpulan tertentu, maka individu
dan kumpulan yang lain tidak wajib lagi melakukannya, contohnya melakukan
sembahyang jenazah, berniaga, mengajar dan sebagainya.
Memelihara Alam
Selain itu, manusia juga berperanan untuk memelihara alam
ini dengan sebaik-baiknya. Allah telah mencipta alam ini untuk kepentingan
manusia seluruhnya. Oleh itu, manusia boleh menggunakan ciptaan ini untuk
meneruskan kehidupan mereka di dunia. Sungguhpun begitu, manusia perlu
menunaikan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh Allah dengan menggunakan
ciptaan tersebut hanya untuk perkara-perkara yang boleh membawa kepada kebaikan
sahaja. Mereka tidat boleh melakukan kerosakan di muka bumi ini sehingga
membawa keburukan kepada manusia atau makhluk lain termasuklah binatang.
Mengenali di Antara Satu Sama Lain
Manusia juga perlu berbaik-baik di antara satu sama lain
tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan. Allah mencipta manusia dengan
pelbagai puak supaya mereka dapat mengenali di antara satu sama lain. Mereka
tidak boleh berbangga diri, sombong dan takbur. Sebaliknya mereka hendaklah
sentiasa berbaik-baik dan bersatu-padu di dalam menghadapi sebarang masalah.
Perbezaan agama juga tidak boleh dijadikan alasan untuk manusia bermusuhan.
Islam hanya membenarkan penganutnya memusuhi orang bukan Islam sekiranya mereka
dengan jelas menunjukkan penentangan atau cuba membahayakan orang-orang Islam.
Dalam keadaan biasa hubungan baik perlu dikekalkan di antara mereka.
Memakmurkan Muka Bumi
Selain dari memelihara alam ini manusia juga berfungsi untuk
memakmurkan muka bumi ini supaya mereka dapat menjalani kehidupan dengan lebih
baik. Akal dan pancaidera yang dianugerahkan kepada manusia hendaklah digunakan
untuk meneliti dan berfikir bagi memanfaatkan semua ciptaan yang sedia ada.
Banyak rahsia kejadian Allah yang boleh disingkap oleh manusia dengan
menggunakan akal yang ada. Di sebalik kejadian tumbuh-tumbuhan misalnya
terdapat pelbagai jenis penawar, di dasar lautan juga terdapat pelbagai
khazanah, begitu juga di dalam perut bumi. Hanya manusia yang menggunakan akal
dengan sepenuhnya akan dapat menikmati semua ini. Selain untuk dirinya ia juga
dapat memberi faedah kepada orang lain.
Mentauhidkan Allah
Manusia yang perlu mentauhidkan Allah, dalam konteks ini
manusia ditegah sekeras-kerasnya melakukan sebarang bentuk perbuatan yang boleh
membawa kepada syirik atau menyekutukan Allah. Syirik adalah dosa besar yang
tidak akan diampunkan oleh Allah melainkan dengan taubat yang
bersungguh-sungguh. Bagi mengelakkan berlakunya syirik, manusia perlu mengenali
Allah. Manusia boleh mengenali Allah melalui sifat-sifat-Nya. Terdapat 20 sifat
yang wajib diketahui oleh manusia.
Mentadbir / Menjadi Khalifah di Muka Bumi
Fungsi manusia yang seterusnya ialah mentadbir atau menjadi
khalifah di muka bumi ini. Fungsi ini sesuai dengan kedudukan manusia sebagai
makhluk yang terbaik. Manusia hendaklah sentiasa bersikap adil sama ada
terhadap dirinya sendiri atau orang lain. Manusia hendaklah memastikan tidak
berlaku kemungkaran di muka bumi sebaliknya hendaklah memastikan berlakunya
kebaikan. Hal ini sesuai dengan tugas yang diamanahkan oleh Allah iaitu Amar
Makruf dan Nahi Mungkar (menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran).
No comments:
Post a Comment